Wednesday, November 30, 2016

Renungan : Ayah Ibu... Berawaslah Mendidik

"Abdullah, kenapa buat adik gitu, Allah marah tau Abdullah suka buat adik."

"Abdullah, lepas main, simpan semua mainan ni. Allah tak suka orang yang tak kemas."

"Abdullah, kenapa nakal-nakal ni ? Abdullah tak nak Allah sayang Abdullah ke ?"

"Abdullah, kalau abdullah tak dengar cakap umi, Allah tak sayang Abdullah nanti."
"Allah tak suka kita banyak buang masa tengok kartun."
bla… bla… bla…

Ini adalah kesilapan saya dalam membetulkan kesalahan anak. Saya harap tidak berulang kepada pembaca sekalian. Mengapa ? Bukankah baik semuanya dikembalikan kepada Allah. Menanamkan aqidah sejak kecil. Jadi, di manakah salahnya?

Salahnya adalah teknik memperkenalkan Allah kepada anak. Allah yang sepatutnya disayangi dan ditaati. Namun apa yang saya lakukan seolah-olah, jika tersilap Allah marah, Allah tak suka dan Allah tak sayang. Jika tersalah terus masuk neraka? Adakah itu yang terbaik dalam memperkenalkan Allah kepada si kecil? Tidak bukan? Saya tersedar ketika Abdullah menjawab:

“Kalau macam tu, Abdullah tak nak lah Allah”

Na’uzubillah…

Tersentak saya dengan kata-kata itu. Lantas saya mengambil satu masa untuk menceritakan tentang indahnya syurga. Indahnya berbuat baik, indahnya berkata sopan dan sayangnya Allah pada anak kecil. Sehingga sebelum tidur, Abdullah sering ingin mendengarkan kisah syurga. Selepas satu jangka masa, saya teruskan dengan cerita-cerita dari neraka pula.

Kemudian, saya ubah kembali cara teguran saya.

"Abdullah, Allah sayang kalau Abdullah salam dengan semua orang."

"Abdullah, Allah suka sangat orang yang suka tolong umi."

"Abdullah nak Allah sayang tak? Jadi anak yang soleh ya."

"Abang yang baik mesti Allah sayang, masuk syurga. Seronok masuk syurga."

Alhamdulillah, saya sangat terharu dengan teguran anak saya. Barulah saya sedar, selama ini saya lebih banyak bercakap negatif dalam memperkenalkan Ad-Din (Agama) yang penuh dengan kasih sayang.
Al-quran juga lebih banyak merakamkan kebaikan berbanding keburukan. Lebih banyak menyebut perkataan syurga (Jannah) berbanding neraka (Naar). Jadi, pastikan ibu bapa lebih banyak menyebut yang baik-baik tentang agama, dalam menanamkan Aqidah. Kemudian barulah disertai ancaman.

Moga anak-anak kita berkembang sesuai acuan Al-Quran, dorongan As-sunnah dan peribadi Qudwah. Insya-Allah.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment