Perutusan Pengetua



Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan keizinan dan limpah kurnia-Nya dapat saya merakam sepatah dua kata sebagai renungan kepada pelawat blog kami yang budiman. 

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan sekalung tahniah dan syabas kepada Unit Perhubungan dan Dokumentasi Matang Gemilang kerana berjaya menghasilkan blog maya yang sangat bermakna kepada sekolah ini. Lahirnya blog ini sudah tentu menagih usaha dan kesungguhan semua pihak. Penerbitan blog Matang Gemilang sesungguhnya merupakan suatu agenda yang penting dalam menjalin semangat kerjasama, komitmen, inisiatif dan kreativiti seluruh warga SMKA Matang. 

Selain berupa diari yang mencatat segala agenda kurikulum dan kokurikulum di alam maya digital ini penghasilan blog ini juga selaras dengan objektif kerajaan untuk melahirkan generasi pelajar yang berinformasi, proaktif, kritis dan kreatif di samping menyuntik semangat berkarya dan cinta akan ilmu. 

Cabaran pendidikan masa kini menuntut iltizam, komitmen dan pengorbanan semua pihak, khususnya para pendidik. Di sinilah terletaknya peranan sebenar para guru dan pelajar sendiri sebagai wahana pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang sempurna. Sekiranya kita lemah dan tidak berdaya saing, maka kelemahan itulah menjadi jerat yang akan membinasakan kita. Keikhlasan dan pengorbanan para guru tidak ada kayu pengukur yang mampu menilainya. 

Namun kecemerlangan dan keluhuran sahsiah para pelajar merupakan ganjaran yang paling berharga. Semoga para guru sentiasa menabur bakti untuk pembangunan agama, bangsa, dan negara. Kecemerlangan akademik sahaja masih belum cukup untuk digelar pelajar cemerlang kerana kecemerlangan yang sebenar adalah keseimbangan kecemerlangan dari segi akademik, akhlak dan sahsiah yang mulia. Saya berharap pelajar sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan kerana tiada jalan pintas untuk menjadi orang yang berjaya dan dihormati. ‘Tiada langkah seribu tanpa langkah pertama’ 

Akhir sekali sokongan dan kerjasama semua pihak khususnya guru, pelajar, ibu bapa dan semua warga SMK Agama Matang akan membuahkan hasil yang kita banggakan, insya-Allah. 

Sekian, terima kasih.

SITI ZULAIHA BINTI HJ. IBRAHIM

2 comments: